Isnin, Disember 21, 2015

Soulmate Paling Sweet


RINTIK hujan yang menari di atas jalan tar itu aku pandang kosong.

"Kenapalah sekarang ni hujan rajin sangat turun? Awak tak penat ke turun hari-hari encik hujan?" Omel ku sendirian. Telapak tangan aku lunjurkan keluar untuk merasa titisan air hujan itu.

"Apalah nasib aku tercongok kat sini sorang-sorang." Gadis itu menghembuskan nafas perlahan.

Nak balik memang tak dapat. Gila dia nak redah hujan lebat macam ni. Payung pula memang tak bawa. Hailah nasib kaulah. Benda wajib kau boleh lupa.

Ini semua penangan malam semalamlah. Kalau saja dia tak ikut 4 sahabatnya itu menonton wayang lewat malam, tak adanya dia kelam-kabut nak pergi kelas pagi tadi. Nasib aje dia orang tak tertangkap semalam masa curi-curi masuk kat kolej. Kalau warden tahu, naya dia orang jadi satay.

Tadi pagi pula, dia bergegas ke kelas Prof Amman sampaikan lupa nak masukkan payung dalam begnya. Pergh! Dalam banyak-banyak kelas, kelas prof tulah yang harus dielakkan nak datang lewat. Datang lewat aje sekali, satu semester dimalukan. Aduh. Ngeri pula dengar. Nama aje Amman, tapi orangnya tak pandai aman damai, nak marah aje kerja.

Kerana putus asa asyik duduk dan berdiri, gadis itu akhirnya memutuskan saja duduk menunggu hingga hujan reda.

Dia melabuhkan duduk di perhentian bas itu. Ear phone dikeluarkan dari poket baju kurung.

Playlist musik dicari dan lagu dipilih. Lagu Westlife - As Love Is My Witness berkumandang di corong telinga.

Biarpun sekarang ni zaman kegemilang Kpop, Justin Bieber dan One Direction, tapi dia tetap pilih Westlife. Biarpun kumpulan itu dah bubar, tapi hatinya tetap setia pada Westlife. Ecewah.

***

DIA melihat dada langit.

'Rasanya dah boleh gerak dah ni. Hujan pun renyai-renyai dah.' Gumam dalam hati gadis itu.

Sebelum memulakan langkah, dia menadah tangan berdoa agar kejadian minggu lalu tidak lagi berulang.

Gila agaknya punya kereta. Aku yang ayu berjalan kaki, pemandunya bawa menonong aje laju. Tak pasal-pasal bajunya basah kena lopak air. Grrrrrr!

"Let the world stop turning, let the sun stop burning. Let them tell me love's not worth going through." Ceria gadis itu menyanyikan bait lagu In This Life dari Westlife itu.

"If its all fall apa..."

Spalsssssshhh!

Tagune! Belum sempat dia menyambung lirik. Sekali lagi, dia terkena lopak air. Kalau 1-2 kali, mungkin dia boleh husnudzon. Tapi ni dah 3 kali.

'Kau tunggu! Aku balas balik!' Sakit hatinya. Huwaaaaaaa! Mak, baju aku.

Kakinya menghentak laju menuju kolej.

Geram! Geram! Geram!

***

PINTU bilik aku tolak kasar. Terkejut 2 hantu itu di dalam bilik.

"Aik Fai? Marah benar nampak." Tegur Annisa.

"Ha'ah. Kau apa kes Fai? Dengan baju macam ni lagi?" Soal Zara pula.

"Takkan kau join kerbau and the gang kut, berendam kat lumpur." Sambung Annisa lagi. Cis! Dia orang ni kan, bukan nak sedapkan hati aku. Sakitkan hati adalah.

"Entah jembalang, mambang mana yang tak reti drive. Main langgar aje lopak. Dia letak mata dia kat lutut agaknya." Geram aku bercerita. Baju sudah terganti dengan tuala. Nak mandi! Ewwwww, lumpur melekat kat semua baju aku.

"Orang yang sama ke?" Soal Zara yang merenung aku.

Aku hanya mengangguk.

"Tak apa. Aku bagi dia tengok langit tu tinggi ke rendah." Dengan nada angkuh aku bersuara. Ini semua sakit hati punya pasal!

"Kau nak buat apa?" Giliran Annisa menyoal.

"Eh, adalah." Aku pantas keluar bilik menuju ke tandas dengan satu agenda di otak. Senyuman mengejek terbit di bibir.

***

"EH, korang kejap." Aku menahan tangan Nabila ketika kami berjalan di tengah panas.

Serentak Annisa, Zara dan Hana ikut berhenti.

"Kau pehal?" Hana menyoal. Yelah, tengah panas tiba-tiba berhenti.

"I think I recognize this cute little purple car." Aku renung tajam kereta Mini Cooper yang kurang dari 100km itu.

"Weh, kau jangan Fai. Kereta mahal tu." Nabila sudah cuak. Janganlah cakap gadis itu nak pedajal kereta itu.

'Ah! Peduli apa aku! Sakit hati perlu dibalas!' Laju kaki meninggalkan 4 sahabat itu dan menuju ke kereta itu.

"Cover aku jap." Pintaku.

"Hi sayang, lama tak nampak." Aku menepuk-nepuk bumbung kereta itu. Macamlah dia faham apa aku cakap.

Aku melilau mencari batu. Hah! Jumpa pun.

Aku ambil batu itu lalu bertawaf mengelilingi kereta itu. Dan aku bertepuk tangan. Hehe! Puas hati aku!

"You look cuter in this way, little buddies." Aku menepuk-nepuk pintu pemandu itu lalu melangkah menuju cafe.

***

'CIS! Prof Aria ni kan saja nak buli aku.' Dah 3 kali dah aku ulang-alik dari pejabatnya ke dewan. Erghhh!

Kali ni aku pasti ini buku yang betul.

'Aik?' Ketika melintasi kereta comel itu, aku lihat ada seseorang sedang membongkok sambil melihat tayar kereta. Heh!

"Assalamualaikum." Ucapku.

"Waalaikumsalam." Jawabnya keras. Hailah kalau macam ni kau menjawab salam, baik tak payah. Macam tak ikhlas aje.

"Apa hal ni sedare?" Aku lihat wajah lelaki itu sudah memerah.

Dia kemudian berdiri. Wow, tinggi dia ni macam model. Aku pula terasa macam budak kecik. Pendek sangatkah aku?

"Ni ada mangkuk pancitkan tayar aku." Ucapnya. Heh! Dia cakap aku mangkuk!

Lelaki ni kan, muka handsome tapi macam zero aje. Aku tilik wajah dia.

"Kalau kau nak kaji berapa dalam lubang hidung aku, tak payahlah." Ucap lelaki itu. Erk? Kantoi eh aku tengok muka dia?

Aku telan air liur.

"Sekarang sedare nak buat apa?" Aku soal dia.

"Mungkin aku nak cari orang yang pancitkan tayar aku. Nak lapor dengan dekan. Biar dia kena gantung semester." Jawabnya dengan mengurut-urut dagu.

"Eh, mana boleh macam tu sedare." Aku telan air liur. Lapor dekan? Gantung semester? Aku tak nak!

"Eh yang kau nak bela sangat mangkuk tu pehal?" Eh, amboi dia ni. Dah tentu-tentulah aku bela mangkuk tu sebab mangkuk tu akulah, mangkuk!

"Mana ada." Bidasku.

"Jangan-jangan mangkuk tu pancitkan tayar awak sebab awak tu tak reti nak tengok kiri kanan. Apa mentang-mentang awak guna kereta mahal macam ni, awak tak bertimbang-rasa dengan pengguna jalan raya yang lain. Ada lopak pun main langgar aje, sampai orang yang jalan kaki pun kena." Hamburku. Dah lama aku pendam sebenarnya.

"Awak..." Dia renung aku lain macam. Erk? Aku dah terlanjur cakap ke?

Aku telan air liur. Tawar.

"Eh, saya kena pergi. Assalamualaikum." Laju aku meninggalkan dia. Aku tampar mulut aku berkali-kali. 

***

"YATI, kawan kau si Syed nak jumpa." Tegur Faisal yang baru masuk dewan itu.

Eh, bila pula aku ada kawan nama Syed? Syed mana pula ni? Kaki laju keluar dari dewan.

"Syed?" Tegurku pada lelaki yang membelakangkan aku.

Dia berpusing dan tersenyum. Mangai, ngerinya dia senyum.

"Hai." Dia senyum manis lagi. Erk? Dia ni apahal?

"Awak Hayati Zhufairah kan?" Soalku. Aku hanya mengangguk laju.

"Saya Syed Aisamuddin Fateh." Sambungnya.

"Owner of the cute little purple car yang awak telah pancitkan." Dia sengaja menekan perkataan pancit. Gulp!

"Ap.. Ap.. Apa awak merepek ni? Jangan nak menuduhlah." Aku sudah tergagap menyoal.

"Ni." Dia menunjuk sekeping gambar tepat-tepat di depan wajahku. Ni aku kan? Habis aku.

"Itu bukan saya." Bidasku. Yelah, gambar nikan membelakang. Mana ada muka aku.

"So, how about this?" Sekeping lagi. Aksi aku yang menepuk tangan setelah selesai memancitkan keempat-empat tayar itu.

Tak sangka dari dia nak ambil fail di kereta boleh pula dia tertangkap orang pancitkan tayarnya. Depan-depan.

Gulp! Air liur dah lama habis perisa.

"Aku nak ganti rugi aku." Ucapnya. Aku telan air liur lagi. Takkan dia nak aku ganti tayar Mini Cooper dia?

"Be.. Be.. Berapa?" Aku mengutuk diri sendiri. Nilah jadinya Fai, kau main bantai aje pancitkan tayar orang tak tengok kereta pun. Padah muka!

"Tak mahal." Jawapannya buat mata aku dah bersinar-sinar.

"Rm10k aje." Rahangku terjatuh. Mangai. Rm10k tak mahal?

"Ta.. Tapi.. Saya mana ada duit banyak tu. Saya bayar ansuran boleh?"

"Aku tak kira kau kena bayar juga." Tegas.

Aku sudah nak menangis. Mana aku nak cekau duit tu? Aku ni kan student aje, bukannya orang bekerja!

"Kau bayar aku..." Jeda.

"Dengan jadi...." Dia sudah tersenyum mengejek. Dah sudah, jangan dia suruh aku jadi bini dia ke mistress dia ke. Tak nak aku!

"My very own personal maid." What? Orang gaji?

"Tak nak!" Eh, apahal aku nak jadi orang gaji dia pula?

"Okay. Then aku laporkan kau dengan dekan, sekali dengan geng-geng kau tu." Dia mula menapak meninggalkan aku.

"Okay. Okay. Saya jadi maid awak." Aku tarik bucu bajunya. Dia menoleh kembali sambil tersenyum manis. Tak bukan manis tapi mengejek.

Aku tak naklah disebabkan aku, kawan yang lain turut terkena.

"Good."

"Esok jangan ponteng kerja tau purpy." Purpy? Dia menepuk-nepuk kepalaku yang beralas tudung. Huwaaaaa! Kenapa aku mesti terlibat dengan dia?

***

"PURPY cepatlah. Terhegeh-hegehlah kau ni." Dia sudah marah-marah. Aku lagilah. Dahlah segala buku, beg laptop dia suruh aku bawa. Dia bawa apa? Bawa badan aje!

"Sabarlah Tuan Syed. Berat ni." Jawabku sambil menekan perkataan tuan itu. Dahlah aku kena panggil dia tuan, ish mengada.

"Eh, melawan kau eh. Aku cili mulut kau kang."

"Saya belajar dari tuan. Jadi kalau tuan nak cili mulut saya, cili mulut tuan juga." Hailah, apa nasib aku jadi orang gaji. Tinggi-tinggi aku belajar, alih-alih kena jadi orang gaji mangkuk ni.

"Awww. Sweetnya, lepas tu kita jadi couple of the chillies kan?" Dia sudah bertepuk-tangan.

Cis! Aku pula yang sakit hati! Dahlah, dia park kereta jauh-jauh. Saja nak sakitkan hati aku. Lama lagi ke nak sampai?

Akhirnya barang-barang yang berat itu bebas dari bahu aku.

"Thanks purpy." Dia tersenyum manis. Tapi aku pula yang terbakar tengok senyuman dia tu.

'Cis! Tagune! Saja nak penatkan aku! Dahlah aku lapar! Saja nak buli aku!' Dek geram, aku tendang tayar Mini Coopernya sekali.

"Marah dengan tuan, janganlah sampai tendang tayar." Dia sudah bantai gelak. Aku ketap gigi.

"Purpy, aku tau kau lapar. Jomlah makan." Dia sudah meloloskan masuk dalam kereta.

"Tak apalah tuan. Saya ada date dengan boyfriend saya." Berubah terus mukanya bila aku tolak. Heh! Padanlah muka kau!

Dan aku terus meninggalkan parking. Purpy, purpy. Aku Hayati Zhufairahlah, bukan purpy! Nasib aje dia tak panggil aku puppy.

***

"ASSALAMUALAIKUM, purpy." Suaranya lagi.

"Waalaikumsalam. Tuan nak apa? Bukan jam bekerja saya dah habis ke?" Serangku. Time aku nak relakskan diri pun dia nak ganggu.

"Teman aku makan." Pintanya. Eh, dah buang tebiat ke apa dia ni?

"Saya dah makan." Tipu ku walhal aku sendiri pun tak jamah apa-apa lagi.

"Tak kira, turun dalam masa 30 minit. Aku kat bawah ni. Turun atau esok aku denda." Arghhhh! Hati membentak. Ni ajakan ke ugutan? Dia ingat dia tu laki aku ke nak arah-arah aku macam tu?

Kaki menghentak tak puas hati.

***

KRIUUUUKKKKKK.

Aku tekan perut. Aduh, lapar.

"Purpy, kenapa tak makan?" Soalnya.

"Saya dah makan." Jawapan yang sama. Apa punya tinggi ego kau ni Fai? Tapi tangan menekan perut.

"Aku dengar bunyi konsert kat perut kau tu. Tak payahlah nak tipu." Dia tolak pinggan nasi gorengnya ke depan. Nasi yang sudah separuh.

"Mana ada." Bidasku.

"Makanlah purpy." Dia memujuk. Kalau dia ni boyfriend aku, dah lama aku cair. Tapi dia tu Tuan Syed Aisamuddin Fateh yang sangat annoying mengalahkan annoying orange.

"Tak." Aku tolak pinggan itu ke arahnya.

"Eat now, Hayati Zhufairah." Tegas dan keras.

Aku tak pernah nampak dia setegas ini. Aku dah kecut perut. Pelan-pelan aku tarik balik pinggan itu.

Dan aku mula memasukkan nasi goreng itu ke mulut. Sedapnya.

Dia turut tersenyum.

"Purpy awak tau tak?" Dia bersuara.

"Tak tahu." Jawabku tak tengok pun mukanya. Khusyuk sangat makan.

"Orang cakap dengar dulu." Dia ketuk kepala aku dengan chopsticks yang aku tak tahu dari mana datangnya.

Aku mengusap kepala yang beralas tudung itu. Weh, sakitlah mangkuk!

Dia ni tak belajar adab ke, tak elok ketuk-ketuk kepala orang yang tengah makan.

"Kita kan macam soulmate paling sweet." Aku tenung dia tajam.

Pehal sweet-sweet? Ni bukan sweet, ini sawit!

"Sweetlah sangat." Ucapku dengan mata ke atas.

"Yelah sweet. Makan sepinggan, sudu pun share." Dia sudah tersenyum. Erk? Share?

Tak semena-mena terhambur nasi gorengku, sudu yang aku gunakan tadi pun aku campak. Aku guna bekas dia? Erghhh! Ewwwwwww! Geli! Geli!

"Purpy, apa ni." Aku nampak ada beberapa butir nasi melekat di wajahnya yang masam. Mesti dia marah.

"Yang tuan merepek apa pasal? Kenapa tuan tak cakap saya guna bekas tuan? Macam mana saya nak samak nanti?" Kalutku. Hampir terkeluar air mataku.

Dia pula bantai gelakkan aku. Cis!

"Comelnya kau gelabah. Habis muka kau merah." Amboi, dia ni galak ketawakan orang.

"Eh, Syed. Apa you buat kat sini?" Tiba-tiba datang seorang gadis menyapa ketika kami bergelak ketawa. Eh, tak bukan kami tapi dia aje.

Aku tengok dia atas bawah. Wow.

"Saja bawa tunang jalan. You?" Soalnya. Cis! Sesedap iklan sedap rasa aje dia mengaku aku tunang dia.

"Tunang you? Cute. Pandai you pilih." Dia tenung aku dengan senyuman manis.

Ergh? Okay. Mungkin aku kena husnudzon, bukan semua perempuan tak cukup kain itu gedik. Macam dia ni, biarpun pakaian dia seksa mata tapi aku dapat rasa dia ni baik.

"I know right." Dia jawab sambil jeling aku. Apa jeling-jeling? Cucuk biji mata kang.

"Okaylah Syed. I kena gerak. Enjoy you time with your fiancée." Dia berlalu sambil menepuk pipi lelaki itu.

Baru aje tadi aku puji dia tak gedik ni dah pegang-pegang pipi 'fiancée' aku. Apahal ni?

"Purpy are you jealous?" Dah kenapa dia tanya soalan luar alam macam ni.

"Not in million years." Aku tayangkan kening 'jerk'. Excuse me, jealous? Tak ada maknanya.

"Your face telling me everything. Lepas aje Milli jalan tadi terus muka kau merah. Kau sumpah aku dalam hati ke?" Jawabnya. Erg? Kenapa dia mesti tahu?

"Muka saya memang merah kalau..." Jeda. Cari ayat cepat Fai. Cepat.

"Kalau ada orang tiba-tiba mengaku saya ni tunang dia." Aku mengibas tudung. Nak kibas rambut tak boleh, jadi tudung ajelah.

Dia sambung gelak dia. Cis! Dia ni kan!

"Memanglah, kita kan soulmate."

"Soulmate pala hotak hang." Aku jawab kasar. Tapi dia tak marah, dia tetap gelakkan aku.

"Nak jadi soulmate, kenalah tunang dulu kan?" Dia tatap mata aku. Ala, ni buat skru kaki aku longgar ni.

Aku mendengus geram. Geram sebab jantung pun dah tak kamceng dengan aku. Ini apasal nak dug dap dug dap over sangat ni?

"Hayati Zhufairah, I know you falling in love with me." Dia senyum meleret.

"No!" Bentakku.

"Yes, you are." Dia senyum lagi.

"No!"

"Yes!"

"No!"

"No!"

"Yes!"

"Hah, kan kau dah mengaku."

Cis! Mulut ni pun, sejak bila kau sebut 'yes' ni. Memalukan tuan badan betul.

"Nak balik." Ucapku.

"As you wish my sweetest soulmate." Kenapa dengan dia ni? Apa dia makan salah ubat ke apa? Ish! Mangkuk betullah!

***

"SIAPA lelaki tadi tu?" Tegur seseorang. Mak aii, tiba-tiba aje muncul. Nasib tak terkeluar jantung.

"Nak bagi saya mati ke? Cubalah bagi salam dulu." Ish! Dia ni, saja nak bagi terkejut.

"Assalamualaikum cik adik manis. Tadi tu siapa?" Lembut aje suaranya.

"Waalaikumsalam." Dan aku sambung jalan. Tak pedulikan orang sebelah.

"Aku tanya ni tadi tu siapa?" Soalnya lagi.

"Tak payah sibuklah. Awak bukan suami saya pun." Akhirnya tempoh aku jadi personal maid dia dah tamat. So, tak perlu nak panggil dia tuan lagi. Loya tekak.

"Then, jadikan aku suami kau." Selamba dia bercakap. Aku terus berhenti berjalan dan menoleh ke sisi.

"Tak payah nak merepeklah." Aku kerling dia sebentar dan sambung berjalan lagi.

"Aku serius Hayati. Kita kahwin?" Ucapnya. Aku pula yang terkejut.

Gila ke apa dia? Ajak kahwin macam ajak shopping?

"Jangan nak jadi gilalah. Kita dah tak ada apa-apa urusankan? So will you leave me alone and don't ever ever disturb me again." Aku memberi amaran lalu pergi meninggalkan dia. Boleh sesak nafas aku dibuatnya.

***

"Aku tunggu kau kat bawah. 5 minutes!" Tet. Amboi, selamba badak aje dia putuskan talian. Tagune!

Aku pantas mencapai tudung dan berlari ke bawah. Aku lihat dia bersandar di pintu Mini Coopernya. Dulu purple sekarang biru.

"Nak apa?" Soalku.

"Kita kahwin?" Ucapnya lagi. Hish! Dia ni kan tak habis-habis dengan kahwin dia. Nak kahwin sangat, kahwinlah sorang-sorang tak payah ajak aku.

"Gila!" Ucapku.

"Aku gila sebab kau juga." Jawabnya.

"Then awak jadi gilalah sorang-sorang. Saya tak nak!" Bidasku.

"Aku tak kira. Aku dah hantar rombongan meminang. You have to say yes and no is not accepted." Ish! Ni dah kes kahwin paksa ni.

"Awak siapa nak tentukan hidup..." Belum sempat aku berkata, tiba-tiba telefon berbunyi. Dia bagi aku isyarat suruh jawab.

"Waalaikumsalam mak." Aku jawab salam mak.

"Sampai hati Fai tak bagitau mak kan?" Ergh? Apa ni?

"Apa yang Fai tak bagitau mak? Fai tak fahamlah." Aku sudah menggaru kepala yang tidak gatal.

"Ala Fai ni. Buat-buat tak faham pula. Tapi eloklah tu Fai cepat-cepat halalkan hubungan Fai dengan Sam." Ceria sahaja suara mak. Sam? Menatang mana pula  Sam ni?

"Siapa Sam mak?" Soalku. Aku lihat lelaki itu sudah ketawa. Aih, dia ni apahal pula? Sempat lagi aku jeling.

"Fai ni kan, bakal tunang sendiri tak kenal. Samlah Fai ooi. Syed Aisamuddin Fateh. Bakal laki hang." Kenyataan mak buatkan aku terbeliak.

Tunang? Bakal laki?

"Apa?" Terteriak aku.

"Adoilah Fai. Pekaklah mak macam ni. Dah jangan nak buat-buat terkejut pula. Sam dah cerita semua. Kami dah tau." Kata-kata mak buat aku makin binging. Sebaik sahaja talian dimatikan, aku tenung dia.

"Apa ni?" Soalku tidak puas hati.

"Apa yang apa?" Boleh pula dia tunjuk muka toya dia.

"Sejak bila awak jadi bakal tunang saya?" Soalku sambil berpeluk tubuh.

"2 bulan lagi kita bertunang, dan jangan risau tak sampai sehari kita kahwin. So 2 bulan tu, kita tunang dan nikah terus." Dia menjelaskan sambil tersenyum.

"Remember, no is not accepted." Dia mengingatkan.

"Dahlah, aku balik dulu. Jaga diri ya bakal tunang." Dia mengenyitkan matanya. Melopong mulutku melihat dia.

Oh my kambing! Apa ni? Aku jadi tunang dia? Kahwin dengan dia? Memanglah aku suka dia, tapi bukannya tahap cinta pun. Tapi Fai, cintakan boleh dipupuk. Arghhh! Stresslah!

***

Beberapa tahun kemudian...


"Azzam, Meen, jangan lari nanti jatuh." Teriakku dari bangku. Aku tak boleh nak lari dah. Dah tak larat.

"Okay umi." Jawab Azzam. Hailah, si kembar tu. Anak kembarku yang kini berusia 4 tahun.

"Sayang." Syed Aisamuddin tiba-tiba muncul. Dia mengambil duduk di sebelahku.

"Tak sangkakan sayang ni soulmate abang." Aku mencebik.

"Eleh, tu pun dulu ugut-ugut orang." Jawabku.

"Jodoh." Jawabnya pendek sambil melentokkan kepalanya di bahuku. Tangannya pantas mendarat di perut yang sudah berusia 8 bulan. Tunggu masa aje.

"Yakinnya abang, sayang ni jodoh abang?" Usikku. Dah tak ada dah purpy, petite girl with purple kurung's katanya. Ceh! Mentang-mentang dulu aku banyak koleksi baju kurung warna purple.

"Yelah, sebab sayang orang paling berani pancitkan tayar abang dulu. Selama abang degree kat sana, tak pernah ada orang berani kacau abang." Yelah, dia degree aku ni setakat diploma aje. Patutlah dulu muka dia tak berapa familiar, sampailah kejadian memancitkan tayar itu baru aku tahu dia pun wujud kat U tu.

"Sayang geram tau tak, 3 kali abang percikkan lopak kat sayang. Apa? Ingat sayang ni lembu ke?" Jawabku.

"Sebenarnya abang tak perasaan, abang suka percikkan lopak. Rasa macam hebat aje. Tapi masa percikkan lopak tu, abang tengok side mirror baru perasan ada orang. 3 kali pula tu asyik orang yang sama dan warna baju yang sama. Purple." Jelasnya. Dia sendiri pun salah sebenarnya. Dibuatnya jalan tu macam jalan dia punya. Tak ada sensetiviti jadi pengguna jalan saya betul.

"Tulah abang ni. Tengoklah dulu ada orang ke tak, ni tak laju aje bawa kereta." Aku hanya menggeleng-geleng kepala.

"Tapi biarpun abang percikkan, tapi abang soulmate paling sweet kan?" Dia mengenyitkan mata. Dah jadi buluh keladi dah dia ni.

6 tahun bersama dia benar-benar buat kan aku bahagia. Dia buatkan aku kenal pelbagai rasa, manisnya cinta, pahitnya kesakitan, masamnya memori. Dia buat aku mengenali apa itu kehidupan dengan lebih dalam.

You will never be happy if you continue to search for what happiness consisted of. You will never live if you are looking for the meaning of life.

"Syed Azzam Khairy, Sharifah Aziah Jazmeen, jom balik." Teriak lelaki di sebelahku itu. Syed Aisamuddin Fateh, soulmate yang selama ini aku cari.

Terkedek-kedek kembar itu mendapatkan umi dan walidnya.

Aku bertuah kerana punya insan yang tersayang. Tapi aku lagi bertuah kerana aku punya Allah.

____________________

Tiada ulasan: